DISEMBER 2022

Penjawat Awam Sarawak Digesa Terap Budaya Inovasi, Bergerak Pantas


LANGKAWI: Penjawat Awam Sarawak (SCS) perlu menerapkan budaya inovasi dan bergerak pantas seiring dengan ledakan teknologi yang berubah dengan cepat dalam dunia hari ini.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, penyelidikan amat penting untuk menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Jelasnya, masa depan adalah bergantung kepada cara baru termasuk penggunaan teknologi. 

“Sebab itu kita laksanakan ekonomi digital dan kita adakan IDEC. Saya minta SS (Setiausaha Kerajaan Sarawak) anjurkan IDEC dengan segera sebab kita tahu bahawa perubahan dunia adalah bergantung kepada teknologi dan teknologi berkembang dengan cepat.

“Keduanya ekonomi baru yang berteraskan kepada cara-cara digital. Dan ketiga ekonomi baharu yang berteraskan kepada masalah dihadapi dunia hari ini,” katanya berucap dalam Majlis Penutupan High Performance Team (HPT) Retreat 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi di sini pada Sabtu.

Dalam hal ini, Premier Sarawak berharap penjawat awam ambil tahu setiap inisiatif yang kerajaan Sarawak laksanakan ketika ini terutama Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) untuk memudahkan penyampaian kepada orang ramai.

Tegas beliau, semua penjawat awam negeri perlu faham dan mempunyai komitmen bersama untuk mencapai apa yang telah digariskan dalam PCDS iaitu mengangkat Sarawak menjadi negeri membangun di Malaysia dengan berpendapatan tinggi.

Dari segi teknologi, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan Sarawak boleh berbangga kerana menjadi negeri paling terkehadapan berbanding kerajaan pusat dalam pembangunan tenaga baharu seperti hydrogen dan terbaru penyimpanan karbon.

Katanya, beliau menjangkakan pendapatan Sarawak akan meningkat kepada RM11 bilion pada 2025 sebaik sumber tenaga baharu itu dapat dieksport kelak. 

“Ini semua cara baru untuk menambah pendapatan. Apabila kita dapat menjana pendapatan, baru pelaburan datang. 

“Apabila kita dah ada pendapatan, kita dapat memodenkan ekonomi kita. Kita dapat menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat dan hanya Sarawak sahaja yang ada. 

“Kita perlu menyimpan pendapatan kerana kita perlukan liquidity. Simpanan mesti ada,” tambah Premier Sarawak lagi.

Bagi meningkatkan kemahiran penjawat awam, Premier Sarawak berkata peruntukan akan disediakan bagi membolehkan pegawai di peringkat pengurusan pertengahan melanjutkan pengajian untuk meningkatkan kemahiran hingga ke luar negara.

“Kalau mereka hendak meningkatkan kemahiran ke tahap PhD, kalau ada institusi yang boleh menerima mereka, kita buat termasuk Harvard, MIT, Oxford, Standford, Silicon Valley. Kita mesti memberi pendedahan kepada penjawat awam. 

“Saya akan menyediakan peruntukan kepada penjawat awam untuk melanjutkan pelajaran,” tambah beliau.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Setiausaha-Setiausaha Tetap, dan Ketua-Ketua Jabatan. – EDISI UKAS

Sumber dari : Sarawakku